Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Isnin, 4 Mei 2009

Cinta Bollywood, Punca Murtad?

Sudah beberapa kali saya menerima email berkenaan murtad, kisah insan yg alim semasa kecilnya tetapi bila dewasa bertukar agama kerana cinta. Kebetulan saya ada menyimpan tulisan saudara Hishamuddin Abd Aziz (dari email pada tahun 2006) yg mana saya amat menyokong pendapat beliau bahawa filem2 hindustan yg kita agungkan selama ini sudah makan tuan. Filem dan TV ini memasuki/ memukau minda separuh sedar dan menyebabkan ianya amat sukar untuk diubah. Jadi siapa yg harus disalahkan jika bukan ibubapa sendiri?

Ini dilihat dari segi tukar agama (murtad), bagaimana pula tukar cara hidup dari hidup tolong menolong kepada pentingkan diri sendiri, kurang ajar, melawan cakap orang tua, dari tidak pandai membuat filem2 lucah kepada byk adegan buat sendiri dgn hp? TV, filem dan porno, pemusnah masyarakat no 1, dadah baru no 2... ketagihan terhadap cinta & seks sama sahaja mekanismanya dgn ketagihan dadah dr segi biologi. Sebelum anak2 anda menjauhi Islam, semak dari mana mereka mendapat panduan hidup, dari ibubapa atau dari TV, filem dan video games?

Fri Sep 08, 06 11:21:26 AM
Oleh Hishamuddin bin Abdul Aziz

Kebanyakkan kes-kes murtad yang melanda umat Islam Melayu di negara ini adalah melibatkan percintaan dan perkahwinan. Ramai dari individu yang murtad itu pula adalah wanita berbangsa Melayu. Manakala 'kebetulan' agaknya, pihak lelakinya pula, ramainya adalah dari mereka yang 'sinonim' dengan hero-hero filem Bollywood. Sedarkah kita umat Islam semua bahawa falsafah-falsafah cinta di dalam skrip-skrip filem, jauh lebih diimani dari wahyu-wahyu Allah tentang cinta?

Larisnya Cinta

Apa-apa sahaja perkara, jika dikaitkan dengan cinta, tentu akan mudah mendapat perhatian dan mudah pula laris apabila diniagakan. Sebab itulah komposer-komposer banyak menghasilkan lagu-lagu cinta kerana kaset atau cakera padatnya akan lebih mudah terjual, serta cerah pula peluang untuk menjadi lagu paling popular. Apa yang hampir pasti adalah lagu-lagu yang bertemakan cinta, ditambah pula dengan iramanya yang mendayu-dayu akan mudah menjadi siulan anak-anak muda.

Pembikinan filem pun turut terkesan oleh perkara yang disebutkan di atas. Filem-filem yang bertemakan cinta, akan lebih mudah menarik penonton ke panggung wayang, berbanding tema-tema yang lain. Malah, filem-filem yang bukan bertemakan percintaan pun akan turut menyelitkan unsur-unsur percintaan disamping persoalan sebenar yang ingin disampaikan melalui filem tersebut.

Islam dan Cinta

Perkataan 'love', diberi erti oleh kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia; sebagai perasaan sayang dan kasih kepada negara, kepada orang atau sebagainya. Cinta, perkataan yang sangat sinonim dengan 'kasih' dan 'sayang' itu, sebenarnya adalah satu perkara yang sangat hampir dengan ajaran Islam. Bukankah perkataan kasih dan sayang ini, sama maknanya dengan perkataan 'ar-Rahman' dan 'ar-Rahim' yang menjadi dua sifat utama bagi Allah swt? Walaupun Allah swt mempunyai banyak sifat, sebanyak makhluknya di dalam alam ini, namun kedua sifat ini adalah sifat yang sering dikembarkan dengan namanya.

Bila kita hendak memulakan apa pun pekerjaan, kita orang-orang Islam, dianjurkan untuk membaca 'bismillah', yang menghubungkan nama Tuhan dari kalimah 'Allah' dengan sifat 'ar-Rahman' dan 'ar-Rahim' itu. Di sana, tidak salah jika saya mengertikan bacaan 'bismillah' sebagai; "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pencinta", selain dari makna yang biasa kita dengar iaitulah; "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih".

Begitulah dekatnya agama kita Islam; dengan persoalan 'cinta' atau 'kasih' atau 'sayang' ini!

Bollywood & Falsafah Cintanya

Namun, sedarkah kita umat Islam semua bahawa falsafah-falsafah cinta di dalam skrip-skrip filem, jauh lebih diimani dari wahyu-wahyu Allah tentang cinta? Dan bersetujukah kita, jika dikatakan bahawa falsafah-falsafah cinta dari skrip-skrip filem, terutamanya filem-filem cinta dari 'Bollywood' yang telah pun mengambil tempat sebagai 'wahyu' kepada sebahagian besar remaja dan anak-anak kita hari ini; telah menjadi di antara penyebab kepada berlakunya gejala kemurtadan yang sedang melanda umat Islam masa kini?

Walaupun cinta itu membawa makna yang sangat luas, tetapi di dalam filem-filem cinta, terutamanya dari 'Bollywood' cinta kepada kekasih, digambarkan sebagai satu perkara yang sangat besar, agong dan suci.

Bercinta dengan pasangan kekasih dan kemudian nantinya, mesti hidup bersama sebagai suami dan isteri, dijadikan sebagai ukuran berjaya atau tidaknya sesebuah kehidupan. Sebaliknya, berkahwin dengan mereka yang bukan kekasih kita, walaupun seorang lelaki dan suami yang baik; dilihat sebagai gagal di dalam mencapai matlamat hidup.

Di dalam Islam, cinta kepada lelaki yang telah sah menjadi suami kita adalah kewajiban tetapi tidak, di dalam 'wahyu-wahyu' cinta dari filem-filem cinta sebagai yang disebutkan di atas tadi. Hidup bahagia dengan lelaki yang bukan kita cintai sebelumnya adalah suatu pengkianatan kepada cinta yang suci.

Lari meninggalkan suami, ibu bapa dan keluarga untuk bersama kekasih dianggap sebagai perjuangan yang murni. Bunuh diri jika gagal di dalam percintaan, digambarkan sebagai suatu yang mulia dan bertaraf mati syahid.

Mempertahankan cinta, diperlihatkan sebagai 'jihad'. Sesiapa sahaja yang menghalang percintaan mereka adalah musuh termasuklah ibu dan bapa sekalipun. Memang menjadi perkara biasa di dalam filem-filem cinta, ibu bapa selalunya diletakkan di pihak yang salah. Tidak kira, apa sebab pun yang membuatkan mereka menghalang percintaan si anak, maka mereka mesti dianggap sebagai musuh.

Itulah yang akan tersimpul, kalau kita banyak menonton filem-filem cinta ini. Malah, agama sendiri pun, jika menjadi halangan, maka akan dilihat sebagai musuh yang perlu ditentang. Kebanyakkan kes-kes murtad yang melanda umat Islam Melayu di negara ini adalah melibatkan percintaan dan perkahwinan. Ramai dari individu yang murtad itu pula adalah wanita berbangsa Melayu. Manakala 'kebetulan' agaknya, pihak lelakinya pula, ramainya adalah dari mereka yang 'sinonim' dengan hero-hero filem Bollywood.

Mereka ini, sudah tidak dapat melihat bahawa aqidah Islam yang mereka ada, jauh lebih penting dari si 'kekasih'. Mereka sanggup mengorbankan aqidah dari mengorbankan si kekasih itu. Mereka sanggup untuk 'konon'nya hidup bahagia walaupun sementara di dunia ini; dan walaupun setelah mati nanti mereka akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang tak tertanggungkan.

Tiada Paksaan Dalam Islam

Di dalam Islam, orang yang murtad atau menolak Islam ini ada dua golongan. Golongan yang pertama adalah golongan yang menolak Islam di dalam keadaan mereka belum pernah menerima Islam dan belum mengetahui kebenaran agama Islam. Manakala golongan yang kedua pula adalah golongan yang menolak Islam, setelah mereka menjadi Islam; dan mengetahui kebenaran ajaran Islam itu.

Di atas dasar kebebasan bergama, penolakkan terhadap Islam oleh golongan yang pertama, tidaklah akan menghadapi apa-apa akibat dari hukum dan syariat Islam. Pemerintah Islam akan membiarkan mereka terus kekal dengan penolakkan mereka itu, jika itu pilihan mereka. Malah, mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan apa-apa pun kepercayaan dari agama yang mereka anuti.

Islam Agama Sebenar Dari Tuhan

Tetapi, golongan yang kedua tidak boleh dimaafkan oleh Islam, kerana mereka adalah pengkhianat. Mereka yang meninggalkan Islam setelah melihat, memahami dan meyakini kebenaran agama ini, adalah benar-benar seorang pengkianat. Mereka bukan sahaja menconteng arang di muka kedua ibu bapa, tetapi juga telah menghina Islam dan Allah swt, Tuhan yang menurunkan agama Islam itu.

Islam adalah suatu agama yang boleh didasarkan atas rasional dan logika. Juga sebahagian besarnya berdiri di atas dalil-dalil dan fakta-fakta kebenaran. Tiada aqidah dan ajaran Islam yang bertentangan dengan fitrah manusia. Islam juga bukan suatu agama yang menghalang kemajuan manusia dibidang akhlak dan kebendaan; sebaliknyalah mendorong manusia ke arah itu.

Yusuf Islam, bekas penyanyi rock dari Britain; atau nama asalnya Cat Steaven, telah menjadi bukan sahaja seorang muslim yang baik, tetapi juga menjadi seorang pendakwah Islam yang cemerlang, selepas dia memeluk Islam.

Sedangkan sebelum itu dia telah mencuba berbagai agama termasuk Krisitian, Hindu dan Budha; tetapi dia tidak dapat bertemu dengan ketenangan jiwa yang dicarinya. Apabila dia bertemu dengan Islam, melalui terjemahan al-Quran yang dibacanya selama setahun, dia akhirnya bertemu dengan agama yang sebenarnya dari Tuhan dan benar-benar baik untuk didakwahkan. Dia puas hati dengan ajaran Islam; dan dia juga mahu orang lain juga menikmatinya. Sebab itu dia gigih mendakwahkannya.

Jangan Khianati Islam!

Malang, bagi kita yang telah menerima nikmat Islam sejak lahir, tetapi tidak dapat menghargainya. Apabila kita meningalkan Islam di dalam keadaan demikian, kita bukan sahaja tidak bersyukur, tetapi kita juga sebenarnya hendak menghina dan mempermainkan ajaran Islam. Bila seseorang keluar meninggalkan Islam, itu bererti ia telah keluar dari kebenaran menuju kesesatan. Dia telah mengengkari bukti dan dalil yang benar serta menyimpang dari rasional dan fitrah.

Undang-undang murtad di dalam Islam adalah suatu sistem keselamatan yang tidak membenarkan Islam di permain-mainkan. Kamu boleh menolak Islam, jika itu pilihan kamu. Tetapi kamu tidak boleh meninggalkan Islam, jika kamu telah memilihnya. Undang-undang sebijak dan seadil ini, tiada di dalam agama lain! Hanya di dalam syariat Islam.

Ragu Terhadap Islam?

Timbul persoalan, bagaimana dengan mereka yang lahir sebagai muslim, tetapi tidaklah benar-benar memahami Islam dan mengamalkannya. Di dalam keadaan sebegini, boleh timbul semacam keragu-raguan di dalam jiwanya sehingga mendesaknya untuk keluar meninggalkan Islam. Di dalam keadaan di atas, orang yang telah murtad itu, haruslah diberi kesempatan untuk menghilangkan keraguannya itu. Menurut sebahagian ulama, kesempatan yang diberikan kepada mereka adalah tiga hari.

Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa orang yang murtad, diberikan penjelasan dan pandangan secara berulang-ulang sehingga dapat diperkirakan dengan mantap; apakah ia tetap murtad atau kembali semula ke dalam Islam. Jika ia didapati tetap dengan kemurtadan, maka dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh.

Berwaspadalah!

Jika langkah-langkah di atas dijalankan oleh pihak yang sepatutnya, mungkin ada aqidah yang dapat diselamatkan dan ada anak yang boleh kembali kepangkuan ibu bapanya. Tetapi, langkah di atas, telah diabaikan. Maka kita nanti perlu memberikan jawaban yang sepatutnya dihadapan Allah Rabbul Jalil kelak.

Peliharalah anak-anak atau diri kita dari perangkap cinta yang membunuh aqidah. Dan, marilah kita memperjuangkan sehingga dapat menegakkan ajaran Islam sebagai yang diperintahkan oleh Allah swt. Janganlah takut untuk berdepan dengan musuh-musuh Islam kerana kekuatan kita adalah kekuatan Allah swt yang memerintahkan kita memperjuangkannya.



Terimakasih kepada saudara Hishamuddin atas tulisan beliau.

2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

bismillah = dengan nama Allah , bismillahirrahmanirrahim = dengan nama Allah yang maha pemurah maha pengasih. tq.

Tanpa Nama berkata...

Semuanya berpunca dari iman dan iman akan kuat jika kita bercakap mafhum kalimah lailahaillallah... Oleh itu semua orang islam kena saling berusaha di atas agama islam ini dengan korban diri dan harta macam sahabat RA.
Bollywood, Hollywood, freemasons hatta Dajjal sekalipun tidak dapat menggugat kita andai kita benar-benar yakin pada Allah dan beriman sepenuhnya macam Nabi dan sahabat. Anta keluarlah jemaah dakwah dan tabligh...

Catat Ulasan

"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas